Isnin, Oktober 20, 2008

Harga minyak boleh cecah AS$50 setong


LONDON 19 Okt. - Harga minyak mentah dunia dijangka terus jatuh sekiranya krisis kewangan global memburuk tetapi harganya tidak akan kekal lama berada di bawah paras purata kos operasi industri minyak iaitu sebanyak AS$50 (RM175) setong, kata para penganalisis.

''Kami percaya krisis sektor perbankan yang semakin teruk dan kelembapan pertumbuhan ekonomi global yang bakal berlaku akan memberikan tekanan kepada harga pasaran komoditi,'' kata Bank Deutsche dalam laporannya baru-baru ini.

Pandangan itu yang turut dikongsi oleh firma pelaburan Goldman Sach.

Kebimbangan, tindakan menjual stok dan gangguan dalam rantaian bekalan, kesemuanya berlaku kerana masalah kredit telah memberikan tekanan kepada permintaan minyak mentah yang lebih rendah berbanding dasaran ekonomi, kata Goldman Sach.

Goldman menjangkakan harga minyak mentah dunia akan berada pada paras AS$75 (RM262.5) setong pada suku keempat dan pada akhir tahun ia akan mencecah AS$70 (RM245) setong, tetapi menambah: ''Sekiranya krisis kewangan dan ekonomi mengurangkan permintaan terhadap minyak mentah, harga pasaran akan menjunam sehingga serendah AS$50 (RM175) setong.

Harga itu adalah harga anggaran kos operasi atau kos tunai, bagi syarikat utama minyak dunia.

Anggaran kos bagi projek baru yang lebih mahal yang lebih dikenali kos kecil pengeluaran adalah sekitar AS$75 hingga AS$80 (RM262.50 hingga RM280) setong, kata para penganalisis Bernstein Research yang berpusat di London.

''Bagi tempoh jangka panjang, kami percaya harga minyak dan gas akan mengalami aliran meningkat sejajar dengan kos pembekalan yang kecil.

''Tetapi harga akan terus berkisar antara paras terendah kos tunai AS$45 hingga AS$50 (RM157.50 hingga RM175) setong dan harga gangguan dalam permintaan pada paras AS$110 hingga AS$125 (RM385 hingga RM437.5,'' kata Bernstein.

Kemerosotan ekonomi yang berlaku boleh mengurangkan kos bekalan baru melalui harga keluli yang lebih rendah, tenaga dan peralatan, mengurangkan peningkatan harga yang berlaku sejak lima tahun lalu.

Walaupun harga minyak jangka panjang dijangka akan mendapat sokongan daripada kos pengeluaran baru, harga pasaran sekarang masih bergantung kepada pasaran kredit.

''Pada masa ini kita bergantung kepada kos bekalan yang kecil tetapi sekiranya pasaran ekuiti terus jatuh ia menjadi sukar kepada harga minyak untuk menolak kejatuhan harga,'' kata Gary Ross, Ketua Pegawai Eksekutif dari PIRA konsultan tenaga di New York.

Deutsche Bank berkata, harga minyak pada harga benar masih lagi mahal.

''Kami merasakan harga minyak perlu jatuh ke paras AS$35 (RM122.50) setong untuk membolehkan harga minyak berada pada paras harga benar berdasarkan purata sejarah jangka panjang.

''Tetapi kami percaya, perubahan penting di dalam pasaran terutama berdasarkan lokasi geografi permintaan dan perbekalan mencadangkan paras AS$60 (RM210) setong melambangkan harga murah yang realistik,'' kata beliau.

Berbanding komoditi lain, minyak mempunyai kumpulan pengeluar yang akan membantu menyokong harga seperti Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Petroleum (OPEC).

''Apa yang membuatkan minyak unik berbanding komoditi lain adalah sokongan dari belakang terhadap bahagian bekalan dalam bentuk OPEC,'' kata Ross.

Kebolehan OPEC untuk mempertahankan harga akan diuji pada mesyuarat luar biasanya pada 18 November ini.

''Kami menjangkakan OPEC lebih bersikap berhati-hati dalam meletakkan kuota memandangkan harga kini telah turun di bawah AS$90 (RM315) setong dan perlu mempertahankan harga pada paras AS$80 (RM280) setong,'' kata Standard Chartered Bank.

Kini ahli OPEC seperti Vanezuela dan Iran sedang memaksa pertubuhan itu melakukan langkah agresif. Vanezuela memerlukan harga minyak berada pada paras AS$95 (RM332.5) setong untuk mengimbangi akaun semasanya manakala Arab Saudi, pengeluar utama, mahukannya berada pada paras AS$55 (RM192.50) setong kata Deutsche Bank.

Paras harga yang diingini Arab Saudi adalah mewakili kepentingan besar dalam pasaran minyak sejagat tetapi isu enggan diperkatakan oleh negara itu.

Arab Saudi mungkin mendapati tidak selesa untuk meningkatkan harga ketika ekonomi dunia berada di ambang kemelesetan, OPEC mungkin dapat mengurangkan pengeluaran kerana permintaan yang ada juga perlahan.

Tiada ulasan: