Khamis, Mac 26, 2009

HARGA AYAM TURUN.....KFC TURUN X.......

KUALA LUMPUR 26 Mac — Harga ayam daging turun sebanyak 40 hingga 55 sen sekilogram di seluruh negara mulai hari ini, menurut pengerusi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, Kwei Yew Tong di sini.

Harga ladang ayam hidup turun daripada RM3.70 kepada RM3.30 sekilogram, harga borong daripada RM4.40 kepada RM4 sekilogram dan harga runcit daripada RM5.10 kepada 4.70 sekilogram.

Dalam kenyataan beliau di sini hari ini, harga borong ayam bersih turun daripada RM5.20 kepada RM4.70 sekilogram sementara harga runcit ayam bersih dengan betis, kepala dan hempedal turun daripada RM6 kepada RM5.55 sekilogram.

Harga runcit ayam bersih tanpa betis, kepala, hati dan hempedal turun daripada RM7.40 kepada RM6.90 sekilogram.

Beliau berkata harga turun disebabkan keadaan kewangan dan ekonomi sekarang yang dihadapi negara.

“Tidak dapat dielakkan harga ladang telah turun selaras dengan kekurangan dalam permintaan,” tambahnya. - Bernama

Selasa, Mac 24, 2009

KEAZAMAN MENDIDIK ANAK.......

Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?

"BELAJARLAH memahami setiap tindakan anak kerana dengan cara inilah anda menggalakkan komunikasi yang lebih baik."

KITA sering mendengar resolusi tahun baru kebanyakan orang adalah untuk berhenti merokok, lebihkan senaman atau mengubah tabiat pemakanan. Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?

Mungkinkah terdapat teknik mendidik anak yang perlu anda tukar? Ataupun terdapat tabiat anak anda yang perlu diubah?

Berikut adalah sesetengah resolusi mendidik anak yang mungkin boleh dipertimbangkan.

Jadikan contoh

Kebanyakan ibu bapa tidak sedar akan pengaruh mereka terhadap anak-anak.

Anak biasanya cenderung terpengaruh dengan tabiat merokok, pengamalan diet yang tidak sihat, tidak memakai topi keledar dan sebagainya jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai tabiat buruk.

Ibu bapa perlu menjadi model yang baik sama ada dari segi tingkah laku mahupun kaedah pengurusan emosi.

Mendisiplinkan anak

Belajar mendisiplinkan anak secara efektif amat mustahak. Mendidik mereka kaedah bertindak balas dan mengurangkan tingkah laku yang buruk adalah salah satu contohnya.

Disiplin dan hukuman bukan perkara yang sama. Jika anda berdepan dengan masalah mendisiplinkan anak, maka jangan segan mendapatkan bantuan. Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Teknik didikan tertentu tidak semestinya boleh diaplikasikan untuk semua anak.

Didikan adalah sebahagian besar daripada disiplin. Jika anak melenting, mengehadkannya daripada menikmati pelbagai keistimewaan mungkin satu tindakan yang wajar.

Tetapi, si anak tidak mungkin belajar atau tahu apa yang betul sehinggalah anda menunjukkan kepadanya. Luangkan masa untuk menerangkan perilaku yang betul kepada anak.


Memahami anak

Adakah anda memahami perkara yang dilakukan oleh anak? Mengapa anak kecil memandang anda dan sejurus selepas itu memukul abangnya atau melontarkan sesuatu ke atas lantai? Tidakkah dia tahu itu sesuatu yang salah?

Dia mungkin tahu tetapi tidak bermakna apa yang dilakukan itu jahat. Sebaliknya, kebanyakan kanak-kanak berada dalam kedudukan menerokai had mereka. Inilah satu proses normal dan merupakan sebahagian daripada perkembangan semula jadi. Jika anda berusaha memahami rasional anak, boleh jadi kemarahan dan reaksi anda tidaklah seteruk yang disangkakan.

Sebahagian besar ibu bapa telah mengukuhkan perilaku buruk anak tanpa disedari. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak disalurkan dengan pelbagai perhatian negatif dan tidak konsisten. Sekiranya anda masih tidak dapat memahami mengapa anak bertindak sedemikian, maka ini mungkin bermakna teknik mendisiplinkan anak anda itu tidak berkesan.

Pemakanan sihat

Dewasa ini kebanyakan ibu bapa dilihat cenderung memanjakan anak. Malah, mereka juga terlupa meminta anak membasuh pinggan mangkuk setiap kali selepas makan. Sepatutnya, anak perlu belajar menghabiskan makanan agar tidak meninggalkan separuh daripada sajian tersebut di dalam pinggan.

Jika anda sentiasa membiarkan lebihan makanan berada dalam pinggan secara konsisten, tabiat ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Untuk menyelesaikan masalah ini, anda mungkin boleh memberikan hidangan kecil kepada anak bagi melatihnya menghabiskan semua makanan. Sediakan juga pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayuran, daging dan produk tenusu rendah lemak. Hadkan pengambilan minuman bersoda, tinggi gula dan makanan kaya lemak dalam diet pemakanan anak anda.

"GALAKKAN anak aktif dalam aktiviti fizikal bagi mengelakkan risiko menjadi obes."

Aktiviti fizikal

Bilangan kanak-kanak dan anak remaja yang obes kian bertambah. Menghabiskan masa berjam-jam di depan televisyen, bermain permainan video dan komputer adalah antara puncanya. Jadi, selain pengamalan diet yang seimbang, pastikan anak diberi masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti fizikal secara kerap untuk kekal sihat dan cergas.

Berkomunikasi secara efektif

Adakah anda tahu bagaimana berinteraksi dengan anak? Apakah yang akan anda lakukan apabila anak bermasalah? Belajar berkomunikasi dengan anak jelas merupakan satu kemahiran penting.

Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama anak. Misalnya, pendidikan seks, bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah serta alkohol.

Sentiasa bersedia

Apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama berdepan dengan masalah didikan anak yang spesifik? Misalnya, ketika anak bercakap bohong, mencuri atau ponteng sekolah? Anda mungkin tidak bersedia untuk setiap situasi tetapi perancangan awal mungkin dapat membantu.

Membuat perancangan awal juga boleh membantu anda berdepan dengan anak-anak yang sukar dikawal.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://pediatrics. about.com.
Adakah anda suami yang lalai melaksanakan tanggungjawab?

Pembentukan sesebuah rumah tangga yang aman dan bahagia terhasil dari kombinasi suami isteri yang faham dengan jelas akan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Suami diwajibkan berusaha mencari nafkah untuk menampung kehidupan keluarga, melindungi serta mempertahankan keluarganya.


Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggung jawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana lelaki telah membelanja (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.

(Surah An-Nisa’:34)



Namun demikian, kebelakangan ini seringkali dilaporkan bahawa ramai suami yang alpa dan lupa akan tanggung jawab mereka. Mereka gagal untuk memimpin dan memelihara diri sendiri, apatah lagi untuk berfungsi sebagai peneraju utama dalam keluarga. Mereka gagal memahami firman Allah s.w.t. yang bermaksud:


“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu pelihara dirimu dan keluargamu dari siksa api neraka, yang mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari manusia-manusia yang sombong dan ingkar kepada Allah iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga daripada batu-batu berhala…”

(Surah At-Tahrim: 6)



Tanggung jawab yang dipikul oleh suami sangat luas skopnya. Sekadar menyenaraikan beberapa tanggung jawab asas sebagai pedoman dan kayu ukur untuk bermuhasabah dan menyoal diri sendiri “Adakah saya telah melaksanakan tanggung jawab ini dengan sempurna?”. Antaranya:


1. Menjadi pemimpin keluarga.


Sebagai seorang suami, adakah kita telah memenuhi tanggung jawab mengajarkan isteri dan anak-anak tentang ilmu Tauhid seperti Rukun Islam, Rukun Iman dan sebagainya dengan sempurna? Bagaimana pula dengan ilmu Fiqh misalnya rukun sembahyang, puasa juga perkara-perkara yang diklasifikasikan sebagai halal, haram, sunat, makruh dan harus? Pernahkah kita menerangkan kepada isteri ataupun anak perempuan mengenai haid, nifas, wiladah serta cara menyucikannya?


Semua persoalan di atas sering dipandang remeh oleh suami yang merupakan ketua keluarga. Ada di antara kita yang cetek ilmu agamanya, malah lebih malang ada yang langsung tidak mengetahui akan skop ilmu yang dinyatakan di atas. Kurang mempersiapkan diri sebelum memasuki alam perkahwinan serta mengambil sambil lewa akan persoalan agama merupakan antara punca terjadinya perkara ini. Rasululullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Tidak mendapati akan Allah oleh seseorang dengan dosa yang lebih besar daripada dosa yang jahil akan segala isi rumahnya”.


Imam Al-Ghazali pernah menyatakan bahawa “sesuatu kebinasaan yang akan menimpa seseorang suami adalah akibat kegagalan melaksanakan hak kepada anak-anak dan isteri. Mereka ini terdiri daripada suami yang tidak berani menegur menunjuk ajar anak dan isteri sehingga sanggup membiarkan mereka melakukan perbuatan yang melanggar syariat”.

Terdapat banyak perkara yang melanggar syariat dilakukan oleh anak isteri tetapi suami tidak mampu untuk menegurnya atau sengaja membiarkannya. Antaranya seperti tidak bersembahyang, mengumpat, mendengar lagu-lagu yang mengkhayalkan, mendedahkan aurat, mengeluarkan kata-kata lucah dan seumpamanya.


Seterusnya, Imam Ghazali menyatakan lagi bahawa “kebinasaan yang terdapat bagi seseorang yang berumah tangga itu terlalu banyak, hingga tidak dapat diperkatakan satu persatu. Seseorang itu tidak dapat lari dari kebinasaan ini melainkan orang itu benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan agama dan mempunyai hikmah serta kebijaksanaan dalam memimpin dan mendidik isteri seta anak-anak di dalam rumahtangga”.


2. Pemberian nafkah.

Seseorang suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan tanggungannya semenjak mula berlakunya akad nikah, sekalipun isterinya itu seorang yang kaya raya. Hak isteri tersebut untuk mendapatkan nafkah tidak akan berubah dan kewajipan itu tetap ke atas suami. Justeru, suami wajib berusaha mencari nafkah yang halal bagi menampung kehidupan keluarga.

Nafkah boleh diklasifikasikan kepada tiga (3) bahagian iaitu:

i. Nafkah kepada isteri iaitu meliputi nafkah zahir dan batin kepada isteri yang sah. Manakala bagi isteri yang telah diceraikan, masih berhak menerima nafkah zahir selama tempoh iddah talak raj’ie.

ii. Nafkah anak iaitu pemberian nafkah kepada anak yang sah taraf serta belum mencapai umur akhil baligh. Walau bagaimanapun, sekiranya anak tersebut sudah mencapai umur akhil baligh tetapi masih belum berupaya mencari rezeki, maka dia berhak menerima nafkah.


iii. Nafkah usul adalah nafkah yang diberikan oleh sebab pertalian darah. Misalnya, anak memberi nafkah kepada ibu bapa dengan syarat ibu bapa tersebut terlalu susah sehingga tidak mampu lagi untuk menyara hidup.
Kewajipan memberi nafkah ini juga dinyatakan dengan jelas dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] misalnya telah memperuntukkan dengan jelas tentang hal pemberian nafkah dalam peruntukan Seksyen 59 hingga peruntukan Seksyen 71. Selain itu, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 juga memperuntukkan hal pemberian nafkah di dalam peruntukan Seksyen 60 hingga peruntukan Seksyen 70. Demikianlah halnya dengan peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri lain di seluruh Malaysia yang turut memperihalkan tentang pemberian nafkah ini. Peruntukan-peruntukan ini dibuat untuk memastikan seseorang suami itu tidak lari dari tanggung jawabnya memberikan nafkah kepada isteri dan orang di bawah tanggungannya.


Wahai lelaki, suami dan bapa-bapa sekalian! Marilah kita renung ke dalam diri kita dan berfikir sejenak sejauh manakah kita telah melaksanakan kewajipan serta tanggung jawab kita terhadap keluarga. Kita telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi pemimpin dan pastinya Allah s.w.t. akan menyoal dan menilai apa yang telah kita laksanakan.


Pejamkan mata dan tanya diri sendiri; Cukupkah perbelanjaan harian yang kita bekalkan buat isteri dan anak-anak? Berapa kali kita memeluk dan mengucup anak-anak dalam sehari? Sudah cukupkah bekalan ilmu duniawi dan ukhrawi diajarkan kepada mereka? Paling utama, tanyalah pada diri sendiri; Adakah aku ini bapa yang bertanggung jawab?


Bersesuaian dengan sambutan hari bapa, marilah kita sama-sama berazam untuk melaksanakan kewajipan kita sebagai pemimpin keluarga dengan sebaik mungkin selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Jumaat, Mac 06, 2009

Rakyat Malaysia malas menabung

RAKYAT Malaysia didapati belum bersedia dari segi kewangan apabila berlaku kehilangan punca pendapatan atau diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi kerana kurang menabung.

Kaji selidik terbaru Citibank Bhd berhubung kesedaran perancangan kewangan bagi suku terakhir 2008 itu, menunjukkan hanya dua daripada lima individu atau 39 peratus rakyat negara ini yang menabung.

Sementara itu, kurang satu daripada tiga individu atau 28 peratus merangka bajet bulanan dan mematuhinya.

Ketua Segmen Pemasaran Perbankan Runcit Citibank, Timothy Johnson, berkata penemuan kajian itu juga mendapati 21 peratus daripada responden membayangkan tabungan mereka hanya mampu bertahan untuk empat minggu saja.

“Berdasarkan persekitaran ekonomi global semasa yang amat mencabar, hasil kaji selidik ini agak membimbangkan.

“Meskipun penanda aras kesedaran rakyat negara ini mengenai perancangan kewangan dan persaraan bagi suku akhir 2008, meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu, ia masih belum mantap,” katanya pada sidang media selepas membentangkan keputusan kajian itu di Kuala Lumpur, semalam.

Kaji selidik Suku Tahun Akhir Citibank, merangkumi 500 temu bual dalam talian, yang setiap responden diajukan 40 soalan, bertujuan mengetahui tahap pemahaman rakyat Malaysia mengenai kewangan peribadi dan amalan kewangan masing-masing.

Berdasarkan keputusan keseluruhan kajian, secara umumnya, kesedaran merancang kewangan di kalangan rakyat meningkat kepada 51 mata daripada 49 mata pada suku terakhir tahun lalu.

Sehubungan itu, Johnson berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan rakyat negara ini menyedari kepentingan kewangan.

“Pengurusan kewangan yang baik bukan bermakna membina kekayaan, tetapi penghidupan selesa dengan jaminan kewangan, kualiti hidup yang lebih baik, rasa optimis terhadap masa depan serta bersedia untuk menghadapi cabaran hidup.

“Kajian itu menjadi ukuran bagi mengawal kedudukan kewangan, terutama ketika persekitaran mencabar dengan isu pemberhentian kerja dan pemotongan gaji,” katanya.

Beliau menyaran pengguna supaya merangka perancangan kewangan yang tersusun, justeru, membantu mereka mengharungi tempoh kelembapan ekonomi.

Menurut kajian itu, kini lebih ramai rakyat Malaysia khususnya di kalangan golongan muda berumur 18 hingga 29 tahun, mula memberi perhatian kepada urusan kewangan mereka.

Sejumlah 56 peratus daripada responden, beranggapan kedudukan kewangan mereka kini adalah lebih baik berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, sejumlah 37 peratus daripada responden, naik empat peratus berbanding tempoh sama 2007, berasa bimbang mengenai kedudukan kewangan mereka.

Dari segi pematuhan bajet bulanan, kajian itu mendapati, walaupun 86 peratus responden berhasrat mematuhinya, kurang 28 peratus yang benar-benar mematuhinya.