Khamis, April 23, 2009

DOA MOHON DICUKUPKAN KEPERLUAN

Firman Allah yang bermaksud: Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai arasy yang besar. (at-Taubah: 129)

Keterangan ayat

Menurut Ibn Abi Hatim, perkataan arasy dalam al-Quran merujuk kepada tempat yang tinggi yang dijadikan Allah. (Tafsir Ibn Abi Hatim, tafsir ayat 129 surah at-Taubah)

Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW sering berdoa menyeru Allah yang memiliki arasy yang hebat ketika menghadapi keadaan kritikal.

Abu Daud dan Ibn al-Sunni meriwayatkan daripada Abu Darda' r.a secara mauquf bahawa Nabi SAW bersabda: Sesiapa yang membaca ayat ini pada waktu pagi dan petang sebanyak tujuh kali, maka Allah akan mencukupkan semua urusan dunia dan akhiratnya. (al-Durrul Manthur, tafsir ayat 129 surah at-Taubah)

Khasiat dan kaifiat beramal

Amalan membaca ayat ini sudah lama dipraktikkan dalam masyarakat Melayu. Mudah-mudahan kita dapat mengamalkan ayat yang pendek ini untuk mendapat keselamatan daripada Allah SWT.

Isnin, April 06, 2009

TIP MENABUNG PALING PANTAS

Mungkin selama ini anda terlalu boros sehingga langsung tidak mempunyai sebarang simpanan. Baru awal bulan, gaji sudah tinggal beberapa ratus sahaja, jadi mana mungkin anda dapat menyimpan. Namun anda boleh melakukan beberapa tindakan drastik untuk menyimpan. Berikut beberapa tip mudah yang boleh anda lakukan.


1. Hapuskan penggunaan kad kredit.

Penggunaan kad kredit yang tidak terkawal akan mengurangkan tabungan secara drastik. Sebahagian besar dari kita tidak berdisiplin ketika menggunakan kad kredit dan membuang ratusan ringgit untuk membayar bunga dan pembiayaan kad kredit setiap tahun. Tanpa anda sedari, anda sebenarnya boleh bercuti dari wang bunga atau faedah yang anda bayar kepada pihak bank yang memberikan kemudahan kredit. Bukan tidak boleh menggunakan kad kredit tetapi cara yang paling efektif ialah dengan menjelaskan hutang setiap bulan. Namun anda harus berdisiplin ketika melunaskan hutang setiap bulan, tepat pada waktunya dan berbelanja melebihi had maksimum. Buatlah suatu perancangan: Tetapkan sasaran berapa yang anda bayar setiap bulan, pastikan anda turut menyimpan wang untuk tabungan dan jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan.


2. Berjimat belanja harian.

Ingin makan enak ala restoren dan murah. Cuba rencanakan menu makan anda sebelum pergi berbelanja setiap minggu. Masaklah sendiri makanan anda. Hadkan makan di restoren.


3. Asingkan wang kecil.

Pepatah mengatakan sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Anda mungkin sering meletakkan wang syiling di merata tempat tanpa memikirkan bahawa jika wang syiling itu dikumpulkan dalam satu bekas khas maka jumlahnya boleh mencecah puluhan dan ratusan ringgit. Oleh itu jangan pandang sebelah mata wang syiling anda. Tiada wang syiling, tiadalah wang ringgit.


4. Cari pendapatan tambahan.

Cari kerja sampingan untuk meningkatkan pendapatan, mungkin ada hobi anda yang ternyata dapat menghasilkan wang. Dengan cara ini anda dapat menambah jumlah tabungan anda.

STRATEGI URUS WANG PERLU BERKESAN

PENINGKATAN kos sara hidup masa kini menuntut semua pihak memikirkan strategi terbaik bagi menguruskan kewangan masing-masing. Kenaikan kos bahan bakar, tarif utiliti dan bahan keperluan harian telah mengakibatkan penyusutan kuasa beli pengguna. Penyesuaian dan penyelarasan bajet terpaksa dibuat setiap kali berlaku perubahan pada kos sara hidup.

Bagi kebanyakan isi rumah yang berpendapatan kecil dan sederhana, keadaan ini sangat perit untuk dihadapi. Pun begitu, ikhtiar dan jalan penyelesaian masih luas terbuka sekiranya seseorang itu rajin berusaha. Tambahan lagi, Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur di mana banyak peluang ekonomi boleh diceburi. Apa yang penting, usaha gigih dan strategi kewangan yang berkesan perlu diatur dan dilaksanakan.

Setiap individu terutamanya orang Melayu perlu bercita-cita untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing. Jihad ekonomi individu merupakan permulaan kepada jihad ekonomi bangsa dan negara. Berusaha gigih sahaja tidak memadai. Beberapa strategi tadbir kewangan yang baik mesti diambil.

Strategi pertama yang perlu difikirkan ialah cara untuk meningkatkan lagi pendapatan sedia ada. Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan membuat pekerjaan sambilan. Selagi pekerjaan sambilan ini tidak mengganggu produktiviti pekerjaan utama, tidak salah untuk seseorang itu menjalankannya.

Seterusnya, setiap peningkatan pendapatan yang diperoleh tidak wajar dibelanja habis. Perbelanjaan perlu dirancang dan matlamat tabungan mesti ditentukan serta disusun agar kehidupan masa hadapan menjadi lebih baik. Perbelanjaan hendaklah dibuat dengan berhemah. Berbelanja secara berhemah tidak bermaksud kita perlu menjadi kedekut. Kita dituntut untuk berbelanja mengikut kemampuan diri dan pada masa yang sama tidak membazir dan berlebih-lebihan.

Perbelanjaan yang dirancang dan disusun dengan baik akan membolehkan kita menabung. Sejumlah wang perlu diperuntukkan bagi tujuan kecemasan. Selain itu, tabungan juga perlu dibuat untuk memenuhi matlamat kehidupan lain seperti untuk menunaikan haji, bagi pendidikan anak, pembelian rumah, melancong dan sebagainya.

STRATEGI

Berhutang pula perlulah dielakkan meskipun dalam kehidupan moden kini, kebanyakan kita biasanya tidak dapat lari daripada berhutang. Hutang yang banyak akan menjejaskan kecairan tunai pendapatan masa hadapan. Justeru, mempunyai strategi mengawal dan melunaskan hutang dengan efektif adalah sangat penting. Mengamalkan strategi kewangan yang bebas hutang adalah matlamat kewangan yang dapat menjadikan kehidupan lebih bebas dan ceria.

Perancangan kewangan juga perlu mengambil kira soal perlindungan harta kekayaan. Perlindungan insurans adalah penting agar kekayaan dibina tidak lenyap begitu sahaja apabila musibah yang tidak dijangka berlaku.

Selain itu, strategi pelaburan juga perlu ditentukan agar taraf ekonomi terus dipertingkatkan. Setiap pelaburan yang dibuat perlu mengambil kira tahap risiko yang sedia diambil. Biasanya, semakin tinggi risiko yang diambil, semakin tinggi juga pulangan yang bakal diperoleh. Perlu diingat bahawa aktiviti pelaburan adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi kekayaan seseorang. Disebabkan ia berisiko, apa yang lebih penting lagi ialah supaya kita tidak menjadi lebih miskin daripada keadaan sebelumnya apabila ghairah membuat pelaburan.

Semua strategi kewangan di atas perlu sentiasa dipantau agar matlamat kewangan yang digariskan akan dapat dicapai. Ke arah itu, perancangan rapi dan disiplin diri adalah sangat penting.