Khamis, Januari 08, 2009

Malaysia diiktiraf miliki rejim mesra penghutang

SINGAPURA 7 Jan. - Malaysia disenaraikan berada di tangga keempat sebagai negara mempunyai rejim kebangkrapan paling mesra penghutang di rantau Asia Pasifik apabila pemiutang boleh mengharapkan untuk memperoleh semula lebih 80 sen bagi setiap dolar aset yang mereka terhutang.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Asian Banker Research (ABR) baru-baru ini, kes kebankrapan di Malaysia turut mengambil lebih dua tahun untuk dijelaskan.

Hasil kajian itu yang diumumkan hari ini menyatakan bahawa Singapura dan Jepun merupakan rejim kebangkrapan paling mesra penghutang di rantau Asia Pasifik di mana pemiutang boleh mengharapkan untuk mendapatkan semula lebih 90 sen bagi setiap dolar.

Taiwan di tempat ketiga dengan kadar perolehan semula yang sama dengan Malaysia.

ABR berkata, kebanyakan ekonomi sedang muncul di rantau ini masih perlu berusaha seperti China, India, Indonesia dan Vietnam di mana kadar perolehan semula adalah di bawah 50 peratus.

Pengurus kanan Asian Banker Research Dr Grace Liu berkata, sebahagian bidang kuasa masih mempunyai kelemahan dan kesamaran dalam sistem undang-undang mereka yang berkemungkinan terdedah dalam kelembapan sekarang kerana bilangan perniagaan yang berkembang di rantau Asia Pasifik menjadi tidak mampu membayar.

Kajian itu juga berkata, di India, perbicaraan kemuflisan mengambil purata masa tujuh tahun dan pemiutang memperoleh semula sekitar 10 sen dalam setiap dolar.

Di Filipina, Indonesia dan Taiwan, perbicaraan kemuflisan biasanya mengambil hampir enam tahun untuk selesai.

Sebaliknya, ia mengambil kurang daripada enam bulan secara purata untuk menyelesaikan perbicaraan kemuflisan di bawah regim di Singapura dan Australia, kata ABR.

Negara-negara ini bersama dengan Jepun dan Hong Kong, bukan sahaja di hadapan rakan mereka di rantau ini tetapi juga di kalangan peneraju seluruh dunia, tambah ABR.

Pembaharuan undang-undang yang paling mutakhir dan komprehensif berlaku di China apabila republik itu memperkenalkan Undang-undang Kemuflisan Syarikat pada Jun 2007 yang mengawal atur kes kemuflisan syarikat swasta dan memperkukuhkan kedudukan penghutang tempatan dan juga asing.

Bagaimanapun, China adalah antara beberapa negara Asia, seperti Malaysia dan Indonesia, di mana isu kemuflisan lebih cenderung diselesaikan di luar mahkamah, kata AB

Tiada ulasan: