Rabu, Oktober 15, 2008

RENUNG-RENUNGKAN LAH WARGA MELAYU

'Bangsa Malaysia' tidak relevan

Cadangan Presiden Gerakan dalam ucapan perasmian Persidangan Tahunan Gerakan baru-baru ini agar Perlembagaan Persekutuan dipinda dan memasukkan istilah Bangsa Malaysia, bukanlah suatu cadangan yang baru.
Kebanyakan pejuang istilah "Bangsa Malaysia" akan merujuk kepada cabaran pertama Wawasan 2020 iaitu "Mewujudkan Bangsa Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat dikongsi bersama". Namun pejuang istilah "Bangsa Malaysia" yang bersandarkan cabaran pertama Wawasan 2020 mungkin terlepas pandang apabila perkataan 'bersatu' diletakkan selepas istilah "Bangsa Malaysia" berkenaan.

Bersatu itu sendiri menurut takrifan saya bermaksud banyak/berbilang/berbagai-bagai bangsa tetapi boleh "satu hati" bak laungan perwakilan Gerakan.

Mana mungkin "Bangsa Malaysia" menyebabkan Melayu melupakan kemelayuannya, Cina meninggalkan kecinaannya dan India membuang keindiaannya. Jadi pada hemat saya, pejuang istilah "Bangsa Malaysia" tidak boleh lagi berhujah bersandarkan kepada cabaran pertama Wawasan 2020.

Istilah Bangsa Melayu diulang sekurang-kurangnya 54 kali dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada satupun istilah Cina dan India disebut dalam undang-undang tertinggi negara itu.

Cadangan Presiden Gerakan ini tentunya akan menyebabkan 54 kali pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang juga bermaksud menukarkan istilah "Melayu" kepada "Malaysia". Semestinya cadangan ini tidak dapat diterima oleh orang Melayu selaku bangsa teras di negara ini.

Situasi ini diburukkan dengan kenyataan Ketua Wanita Gerakan yang menyatakan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang dari Sumatera.
Sebelum saya mendesak beliau dikenakan tindakan oleh partinya, suka saya menyatakan bahawa orang Melayu ini adalah bangsa perantau, bukan pendatang.

Gugusan Kepulauan Melayu ini asalnya satu bangsa dan satu budaya. Melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1641, maka dari segi geografinya, gugusan ini di pecahkan kepada dua wilayah. Sempadan boleh dipecahkan namun adat dan budaya tetap kekal diamalkan sehingga kini.

Penghijrahan orang Melayu daripada Gugusan alam budaya yang sama antara Malaysia dan Indonesia tidak menjadikan orang Melayu itu pendatang.
Namun, mereka yang datang dari benua yang berbeza adat dan budayanya adalah pendatang.

Dan lebih teruk lagi apabila kedatangan pendatang bukan secara sukarela tetapi dibawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk menjadi buruh. Orang Melayu merantau secara sukarela.

Selepas 40 tahun penubuhannya, Parti Gerakan mengulangi kononnya ingin dilihat menjadi parti berbilang kaum, yang memperjuangkan hak semua kaum. Hasrat murni ini saya percaya termaktub dalam Perlembagaan parti. Namun, melihat kepada komposisi kaum ahlinya dan komposisi kaum pemegang jawatan utama parti, saya tidak fikir orang Melayu keseluruhannya boleh menerima tawaran keahlian ini.

Bukan salah konsep kerana orang Melayu boleh menerima Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga parti berbilang kaum. Namun beza PKR dan Gerakan adalah kepimpinannya.

Jelas, mesej saya kepada Presiden Gerakan bahawa orang Melayu hanya boleh menerima parti berbilang kaum jika kepimpinannya didominasi oleh orang Melayu.

Saya percaya jika suatu hari nanti kepimpinan PKR tidak lagi didominasi oleh orang Melayu, maka satu demi satu pejuang Melayu dalam PKR akan meninggalkannya seperti mana yang pernah berlaku juga kepada Gerakan selepas era kepimpinan Syed Hussin Al-Attas.

Dari segi perjuangan, saya juga tidak pernah melihat parti Gerakan memperjuangkan hak bangsa lain. Gerakan tidak terlibat bersama MIC dan PKR menentang isu perobohan kuil. Gerakan juga tidak terlibat mempertahankan institusi raja-raja Melayu selepas kenyataan seorang pemimpin pembangkang berhubung kuasa Sultan Perak.

Jika benar Gerakan pejuang semua bangsa, mengapa tiada satupun rekod Gerakan bercakap bagi pihak bangsa Melayu dan India? Mesej saya kepada parti Gerakan, "paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih".
Saya percaya bahawa konsep Bangsa Malaysia tidak boleh disamakan dengan jiran kita, Bangsa Indonesia.

Saya yakin bahawa bangsa Cina dan India tidak akan berkompromi jika saya mencadangkan penghapusan sekolah aliran Cina dan India kerana saya juga tidak akan menyokong sebarang usaha menghapuskan hak istimewa Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa raja-raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Di Indonesia, tiada sekolah aliran Cina dan India, malah nama individu berbangsa Cina di Indonesia pun tidak memiliki identiti Cina seperti di negara ini.

Sanggupkah bangsa Cina dan India di Malaysia mengorbankan nama dan bahasa pendidikan masing-masing seperti di Indonesia? Saya tidak fikir mereka sanggup berkorban sama seperti orang Melayu tidak akan berkorban.
Buat orang Melayu pula, jangan terlalu ghairah berpolitik laksana mat jenin yang berangan-angan memeluk puteri raja sehingga lupa tentang pak kadok yang menang sorak kampungnya tergadai.

MOHD. KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZPresiden PenajaGabungan Graduan Melayu Muda (GGMM)Kajang

Tiada ulasan: