Rentetan jika harga gula dinaikkan...
KRISIS gula datang lagi. Sama ada perkara ini disedari atau tidak oleh kerajaan, hakikatnya rakyat di beberapa buah negeri sudah mengeluh kekurangan barangan asas itu. Pada tahun 2006, isu gula 'menghangatkan' perasaan rakyat. Dahulu ia dikatakan berpunca daripada 'mainan kotor' pengilang dan pemborong gula di negara ini.
Kali ini ia didakwa berpunca daripada tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan harga gula akan dinaikkan selepas Tahun Baru Cina. Akibat bimbang kenaikan harga itu menyebabkan berlaku pembelian panik di kalangan pengguna. Lantaran itu berlaku kekurangan bekalan di beberapa negeri sejak minggu lalu.
Dakwaan bahawa belian panik menjadi antara punca kepada bekalan gula berkurangan sukar diterima. Bagaimana orang ramai terutama yang di luar bandar mahu membeli dan menyimpannya jika stok di kedai pun tidak ada. Pihak penguat kuasa KPDNHEP digesa jenguk-jenguklah ke setiap pelosok negara terutama negeri-negeri di utara dan Pantai Timur.
Lihatlah sendiri berapa banyak gerai menjual kuih tidak beroperasi akibat kehabisan gula. Maknanya, krisis ini telah menjejaskan aktiviti ekonomi rakyat secara langsung. KPDNHEP patut mencari jalan mengatasinya bukan memberi alasan streotaip. Perkara begini yang rakyat bosan kerana lambat mengambil tindakan. Masalah gula boleh menyusahkan kehidupan rakyat.
Rakyat sudah letih dengan putaran krisis bekalan makanan. Apa yang menjadi kemusykilan, boleh dikatakan saban tahun masalah ini pasti akan muncul. Selepas gula, mungkin berlaku semula kekurangan bekalan minyak masak dan tepung.
KPDNHEP yang bertanggungjawab dengan hal-hal perdagangan dan kepenggunaan ini sepatutnya sudah mempunyai pelan jangka panjang bagi memastikan krisis gula tidak berulang. Dengan itu apabila masalah seperti ini timbul, ia boleh diatasi segera. Punca kepada masalah bekalan gula sekarang mungkin sudah dimaklumi. Namun kekurangan bekalan gula masih berlaku. Nampaknya kita tidak belajar daripada kerumitan lalu yang ditanggung oleh rakyat.
Sejak krisis bekalan gula berlaku tiga tahun lalu, kerajaan terpaksa menyenaraikan gula halus sebagai barang kawalan mulai September 2006. Malah kerajaan juga menetapkan harga gula halus di peringkat runcit, selain penetapan harga di peringkat kilang, industri dan pemborong. Tujuannya untuk menyelaraskan harga setiap peringkat supaya masing-masing mendapat keuntungan sama rata.
Namun kini kekurangan bekalan gula yang berlaku di beberapa kawasan di tanah air mungkin akan merebak hingga ke Lembah Klang seperti pernah berlaku sebelum ini. Mungkin benar jangkaan beberapa pegawai persatuan pengguna tiga tahun lalu bahawa isu gula mungkin tidak selesai selagi kerajaan tidak menaikkan sedikit harga bahan itu.
Masalah yang melanda sekarang mungkin selesai dalam beberapa hari lagi jika kerajaan setuju menaikkan harga gula. Tetapi bagaimana dengan masalah bekalan bahan makan lain seperti tepung, minyak masak dan lain-lain.
Jika kerajaan 'melayan' kehendak pekilang, pemborong dan pengedar gula, maka kerajaan terpaksa berlaku 'adil' kepada industri bekalan makanan yang lain. Bermakna rakyat terpaksa bersedia menghadapi kemungkinan kenaikan harga barangan lain jika harga gula dinaikkan.
Adakah tindakan menaikkan harga gula sesuai pada masa ini ketika negara dikatakan menghadapi kegawatan ekonomi kesan kemelesetan ekonomi global?
2 ulasan:
ape komen dari wakil yang telah dilantik oleh rakyat?
huhu...
nek harga gule..
mane leh lorh..
xD
Catat Ulasan