Selasa, Februari 10, 2009

Dana-Didik anak kenali wang



Mungkin ada di kalangan ibu bapa yang tertanya-tanya “Perlukah kita mendidik anak-anak mengenai wang?” Percayalah ia dapat membantu mengawal perbelanjaan anda. Teruskan membaca untuk mengetahui jawapannya.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dewasa ini, pengurusan kewangan keluarga merupakan satu perkara yang sangat penting. Konsep pengurusan kewangan ini bukan sahaja terhad kepada golongan dewasa, malah ia perlu diterapkan kepada akar umbi lagi.

Anda perlulah mendedahkan anak-anak kepada pengurusan kewangan bermula daripada sekarang. Ini dapat membantu dalam mengurangkan jumlah perbelanjaan bulanan. Dengan kenaikan harga barang runcit yang semakin meningkat, anda sememangnya memerlukan bantuan daripada kesemua ahli keluarga dan anak-anak juga tidak terkecuali.


1.Untuk menerapkan nilai dan asas yang kukuh pada anak-anak.

Mahu atau tidak, anda perlu mengakui bahawa pengurusan kewangan adalah satu keperluan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang di mana semuanya memerlukan duit. Malangnya, ramai di kalangan ibu bapa yang gagal mendidik anak-anak mereka mengenai asas-asas pengurusan kewangan.

Ini perlu diubah kerana mendidik anak-anak mengenai wang adalah sama pentingnya dengan mengajar anak mengenai perkara-perkara asas lain seperti memberus gigi, mencuci tangan sebelum makan dan sebagainya. Pengajaran yang paling penting untuk disampaikan kepada anak-anak ialah kepentingan menabung dan mengelakkan pembaziran. Ini perlu dilaksanakan demi kebaikan anda dan juga anak-anak.

2.Duit tidak turun dari langit
Mungkin ada anak-anak zaman sekarang tidak menganggap bahawa mendapatkan duit itu satu perkara yang sukar. Semuanya dianggap mudah belaka oleh mereka. Cubalah bayangkan senario yang benar- benar berlaku ini – seorang anak kecil meminta ibunya membelikannya mainan baru tetapi ibunya tidak mempunyai duit yang cukup dalam dompetnya untuk membelikannya mainan tersebut, lalu dia berkata “Mak tak cukup duit nak belikan adik mainan ni”.

Si anak pula dengan lurusnya menjawab “ATM kan ada. Mak keluarkan je la duit dari mesin ATM tu”. Inilah fikiran kanak-kanak zaman sekarang! Menakutkan bukan?. Bagi mereka, wang yang dikeluarkan mesin ATM itu tidak ada kesudahannya, dan anda boleh ke mesin ATM pada bila-bila masa sahaja untuk mengeluarkan seberapa banyak wang yang anda mahu.

Kanak-kanak akan melalui satu peringkat dalam hidup mereka di mana mereka ingin memiliki pelbagai benda. Mereka mahukan itu, mahukan ini dan macam-macam lagi. Mereka tidak sedar bahawa untuk mendapatkan wang, anda sebagai ibu bapa perlu bekerja keras. Tidak semua yang dihajatkan boleh menjadi milik mereka. Apabila anak-anak sudah sampai ke peringkat ini, sudah tiba masanya untuk anda memberikan mereka pendedahan mengenai pengurusan kewangan.

1 ulasan:

hrmk berkata...

aku tak sompek baca pnjg details artikel nie..

ape2x pun..artikel nie dikategorikan sebagai 'wajib baca'.